Sekiranya bayi tersebut meninggal di dalam kandungan dan umurnya telah berumur 5 bulan dan ke atas, maka sebaiknya dilaksanakan aqiqah untuknya kerana pada umur tersebut, bayi itu telah mempunyai roh, disolatkan jenazahnya dan dikafankannya.
Adapun sekiranya umur bayi tersebut adalah 4 bulan dan ke bawah, maka tidak perlu aqiqah untuknya kerana ia masih dikira segumpal darah dan daging yang belum ditiupkan roh ke atasnya.
Perubahan janin selepas 120 hari sudah menunjukkan bentuk manusia daripada hanya sekadar segumpal darah, daging dan tulang. Jika kita merujuk kepada hadis Ibn Mas’ud RA dalam himpunan Hadis 40 Imam Nawawi Rahimahullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثمَّ يَكونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ، فَيَنفُخ فِيهِ الرُّوحَ
Maksudnya: Sesungguhnya setiap seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya dalam Rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (`alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan dalamnya ruh.
Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim
Hadis ini menunjukkan bahawa dalam tempoh 120 hari itu janin sudah terbentuk dengan rupa manusia dan telah diberikan nyawa. Justeru, kami cenderung untuk menyatakan apabila janin sudah berusia 4 bulan, sudah cukup anggotanya, lalu gugur mati tanpa terzahir suara tangisannya, sunat hukumnya untuk melaksanaan Syariat Ibadah untuknya seperti dimandikan & disolatkan.